Samin (dua dari kiri) bersama-sama Georgie (kiri) mencuba Menu Rahmah di Kafeteria KTYS Kampus Likas.
KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah, menjadi Institusi Pengajian Tinggi pertama menawarkan Menu Rahmah di negeri ini.
Ketua Eksekutifnya, Samin Ongki berkata, sebagai sebuah kolej milik penuh Yayasan Sabah yang prihatin terhadap kebajikan warganya, KTYS ingin membantu mereka yang berada dalam kategori B40 khususnya dengan menyediakan makanan berharga berpatutan di kafeteria kolej berkenaan.
“Menu Rahmah diperkenalkan di kedua-dua kantin kampus KTYS (Likas dan Sembulan), dengan hidangan dipilih dan direka teliti memfokuskan kepada sajian makanan berkhasiat, bernutrisi serta ditawarkan pada harga yang lebih munasabah.
“Konsep Menu Rahmah menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) merupakan sajian makan tengah hari atau malam seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan, dan sayuran ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM5 sepinggan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Menu Rahmah KTYS Kampus Likas, pada Jumaat.
Pengenalan Menu Rahmah tersebut dijangka memberi manfaat kepada sejumlah 700 pelajar semasa dan 200 kakitangan KYTS di kedua-dua kampus.
Walau bagaimanapun, kantin KTYS juga bersedia menerima pelanggan dari luar kampus dan pihaknya mengalu-alukan usaha ini sebagai inisiatif membantu golongan B40.
Di samping itu, KTYS turut menyediakan Tabung Kebajikan Pelajar khusus untuk membantu golongan pelajar yang terkesan, selain mengadakan aktiviti memasak pada setiap Jumaat bagi memberi peluang kepada para pelajar makan secara percuma.
Bagi pelajar Program Pembuatan Pastri Tahap 3, Ahmad Fadil Tahir, 23, pengenalan Menu Rahmah sangat memuaskan dan mampu mengurangkan beban kewangan serta memudahkan para pelajar mendapatkan hidangan seimbang.
Turut hadir, Pengarah KPDNKSH Sabah, Georgie Abas dan Presiden Alumni KTYS, Pkhruddin Bian.





























