Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ yang dibentangkan semalam disifatkan mesra perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ini akan dapat memperkasakan sektor ini yang menyumbangkan kepada 38 peratus keluaran dalan negara kasar (KDNK) dan 48 peratus tenaga kerja di kalangan warganegara Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan menurunkan kadar cukai PMKS daripada 17 peratus kepada 15 peratus yang akan memberi penjimatan kepada 150,000 pembayar cukai PMKS,” katanya ketika mengulas tentang Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin.
Beliau turut meraikan keprihatinan Perdana Menteri ke atas komuniti penjaja dan peniaga kecil dengan menyediakan peruntukan khusus sebanyak RM50 juta membina baharu gerai-gerai penjaja di seluruh negara dan juga peruntukan khusus RM176 juta ringgit bagi kemudahan menaiktaraf premis dan kemudahan perniagaan di bawah MARA, DBKL, PUNB dan UDA Holdings yang merupakan agensi-agensi di bawah Kementeriannya.
“Saya juga menghargai keprihatinan Perdana Menteri menyediakan pelbagai skim kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan usahawan PMKS dengan keseluruhan dana sebanyak RM1.7 bilion termasuk RM330 juta skim bantuan modal yang disalurkan kepada TEKUN Nasional (agensi Kementerian) termasuk RM10 juta khusus untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan, RM300 juta dikhususkan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia serta RM1 bilion melalui Bank Simpanan Nasional untuk pembiayaan PKS mikro dan penjaja.
“Saya juga meraikan keprihatinan Perdana Menteri memperkasakan PMKS dengan sokongan aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan dengan dana sebanyak RM100 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil untuk geran padanan sebanyak RM5,000 dan juga dana sebanyak RM1 bilion melalui Bank Negara Malaysia untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi,” ujarnya.
Secara pentadbirannya, Kementeriannya diperuntukkan RM732 juta dalam belanjawan tahun ini, iaitu RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus. Ini merekodkan pertambahan RM182 juta berbanding belanjawan tahun lalu, khususnya perbelanjaan pembangunan yang ditambah sebanyak RM165 juta.
Ewon berkata, penambahan perbelanjaan pembangunan Kementerian yang diberikan oleh Perdana Menteri menunjukkan komitmen besar beliau dalam usaha memulih dan memperkasakan sektor PMKS negara yang dilaksanakan oleh Kementerian ini dan agensi-agensi Kementerian.
“Kami di Kementerian ini akan terus berkerja keras memastikan peruntukan ini sampai kepada komuniti PMKS mengikut tata kelola MADANI. Saya juga berazam memastikan proses permohonan dan penyaluran skim-skim pembiayaan ini dapat dipermudahkan agar komuniti PMKS dapat menikmati tadbir urus Kementerian dan agensi-agensi Kementerian yang mesra PMKS.
“Untuk ini saya akan meneruskan sesi libat urus dan program temu bersama usahawan-usahawan PMKS bagi menyantuni keperluan, isu dan cadangan mereka dan dalam masa yang sama memperkasakan kerjasama berpasukan di Kementerian agar dapat memberikan perkhidmatan Madani,” kata Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian itu..
Sebagai Wakil Rakyat daripada Sabah, Ewon turut meraikan komitmen Perdana Menteri memberikan peruntukan pembangunan infrastruktur khusus Sabah sebanyak RM6.5 bilion iaitu jauh lebih besar berbanding yang disediakan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini.
“Perdana Menteri juga komited untuk menambahbaik kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan akan menyegerakan rundingan berkenaan formula baharu bagi menggantikan persetujuan interim sedia ada.
“Untuk ini, saya telah mengatakan kepada Jemaah Menteri syor menjadikan pungutan cukai persekutuan di Sabah sebagai asas pengiraan formula Pemberian Khas tersebut dan turut memaklumkan Jemaah Menteri saya antara ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah yang telah memulakan Saman Pemula (Originating Summon) di Mahkamah Tinggi untuk menuntut penyelesaian yang lebih baik mengenai Pemberian Khas kepada Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut meraikan komitmen Perdana Menteri memperbanyak kemudahan klinik bergerak, bank bergerak dan mahkamah bergerak di Sabah.
“Sebelum ini saya pernah menyatakan kepada Jemaah Menteri agar menyediakan peruntukan khusus untuk membiayai program Mahkamah Bergerak (Mobile Court) di Sabah selepas dimaklumkan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum bahawa sepanjang beliau memperkenalkan program mahkamah bergerak tersebut, tidak ada peruntukan khusus disediakan oleh kerajaan ketika itu.
“Sebagai Ahli Parlimen P174 Penampang dan ADUN N11 Kadamaian, saya akan terus mengangkat aspirasi rakyat di kawasan yang saya wakili di mesyuarat Jemaah Menteri untuk isu-isu yang perlu diangkat ke jemaah ini dan juga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan agar kemudahan dan peruntukan Kementerian mereka juga boleh dinikmati oleh rakyat Penampang dan Kadamaian,” katanya.