Rubin (tiga dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Phoong.
KOTA KINABALU : Usahawan tempatan harus keluar dari zon selesa dan meneroka pasaran melalui platform digital.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata golongan tersebut tidak harus terus selesa dalam lingkungan pasaran tempatan dan perlu memanfaatkan platform dalam talian seperti Tik Tok dan Facebook bagi meningkatkan pemasaran produk.
“Ini kerana perniagaan kini tidak terhad secara fizikal sahaja malah platform maya kian mendapat sambutan termasuk pemasaran di luar sempadan yang membawa pulangan lebih banyak, efektif dan cepat.
“Diharap usahawan tempatan sentiasa berpandangan jauh, kreatif dan inovatif di samping pihak kerajaan juga akan terus memberikan sokongan serta bantuan bagi memastikan produk tempatan mendapat tempat di peringkat global,” katanya kepada media dalam Majlis Perasmian Seminar Inspirasi Bisnes Tanpa Sempadan, pada Khamis.
Tambah Phoong, kementeriannya mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang turut giat memberikan tumpuan kepada pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang dilihat mempunyai hasil produk-produk yang unik dan berpotensi untuk dipasarkan.
“Antara usaha tersebut adalah bagi meningkatkan dan mentransformasikan produk tempatan dari aspek kualiti, pembungkusan, penjenamaan dan persijilan bagi memenuhi standard pasaran,” ujar beliau.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Rubin Balang dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Haizar R.H. Ajaz Nabijan.































