Pendaki yang mengalami demam melampau diusung turun dari Laban Rata ke Timpohon Gate. – Ihsan Bomba
RANAU: Dua pendaki terpaksa diselamatkan kelmarin selepas mereka mengalami komplikasi semasa mendaki Gunung Kinabalu dalam dua kejadian berasingan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian pertama membabitkan seorang lelaki yang mengalami demam melampau akibat hipotermia.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 pagi bahawa seorang pendaki mengalami demam melampau di Laban Rata.
“Pasukan Mosar bersama anggota Taman-Taman Sabah dan Malim Gunung melakukan pemeriksaan dan menurunkan mangsa menggunakan pengusung Robinson.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.50 petang,” katanya.
Manakala kejadian kedua melibatkan seorang wanita tempatan, 46, yang mengalami kemalangan di kilometer 4.5, Gunung Kinabalu.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari menerusi talian balai memaklumkan seorang pendaki dilaporkan cedera pada pergelangan tangan ketika mendaki gunung itu.
“Pasukan Mosar bersama anggota Taman-Taman Sabah dan Malim Gunung melakukan pemeriksaan dan membawa turun mangsa menggunakan pengusung Robinson.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan kenderaan Taman-Taman Sabah untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.53 petang,” katanya.































