Dr. Yusof (kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang media itu, sambil diperhatikan oleh James dan yang lain.
KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah dan tiga bekas ADUN Warisan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini.
Mereka ialah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tampasuk), Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung) yang turut mengistiharkan keluar dari UMNO pada sidang media yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Sementara bekas ADUN Warisan ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Azzlinah Ariff (Kunak) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) yang telah keluar dari Warisan minggu lalu.
Mewakili mereka, Dr. Yusof menganggap ini merupakan hari paling bersejarah menggerak langkah mengubah landskap politik Negeri Sabah yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, beliau bersama rakan-rakan telah memikirkan semasak-masaknya mengenai hala tuju politik mereka di Sabah berdasarkan beberapa prinsip berikut:
* Mentaati dan mematuhi Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa kita perlukan kestabilan politik dalam Negara Malaysia dan setiap negeri termasuk Sabah.
* Memahami perlunya Kerajaan Negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunan dan kemajuan Sabah.
* Menyedari bahawa pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah Sabah-based party untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan melaksanakan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

* Menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Sabah.
* Mengetahui bahawa kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah.
“Oleh itu, kami lapan orang ADUN-ADUN dan pemimpin-pemimpin berbagai peringkat serta dari berbagai latar belakang pada hari ini mengisytiharkan membuat keputusan berikut, iaitu memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang beliau terajui., dan memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata Dr. Yusof dalam kenyataan medianya.
Beliau berkata, berpaksikan Perlembagaan Malaysia Perkara 10. Kebebasan Bersuara, Berhimpun dan Berpersatuan maka mereka juga secara beramai-ramai yang berada di dalam dewan dan ramai lagi pengikut dan penyokong-penyokong yang berada di luar sana mengisytiharkan menyokong Kerajaan GRS dan menyertai Gagasan Rakyat.

Turut bersama-sama mereka ialah beberapa pemimpin-pemimpin Warisan dan UMNO yang turut mengistiharkan keluar Warisan dan UMNO untuk menyertai Gagasan Rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Masyarakat (KDM) dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang turut mengistiharkan menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi GRS dan akan mengisytiharkan menyertai Gagasan Rakyat pada masa yang sesuai.
Dengan perkembangan terbaru ini, GRS kini mempunyai 38 daripada 79 ADUN di Sabah, sementara Warisan mempunyai 16 ADUN, BN/UMNO (12), KDM (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1), PAS (1-ADUN Dilantik) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah (7).
GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat (24 ADUN), Parti Bersatu Sabah (7), Parti Solidariti Tanah Airku (6), Parti Maju Sabah (1-ADUN DIlantik) dan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)).



























