Anggota bomba berusaha memadamkan rumah yang dijilat api di Semporna.
SEMPORNA: Seorang penduduk kampong tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dan dua kereta miliknya musnah dalam satu kebakaran di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Mazlan Sarman berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Tampi-Tampi Darat Semporna pada jam 9 pagi.
“Panggiln diterima melalui talian MERS999 pada jam 9.05 pagi dan sepasukan seramai tujuh orang anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Hajim Abdul Malak bersama dua jentera bergegas ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari balai itu, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 80X70 kaki persegi terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar dua buah kenderaan iaitu Isuzu Pickup dan Mitsubishi Lancer. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan sumber air dari jentera,” katanya.
Menurut Mazlan, tiada kecederaan dilaporkan, dan operasi terkawal pada jam 9.33 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.25 pagi.





























