Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Wakil Rakyat Parti Warisan (Warisan) yang keluar parti bertindak sedemikian kerana Warisan tidak lagi sesuai sebagai platform untuk memperjuangkan hak-hak dan membela rakyat.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini kerana para pemimpin utama parti itu lebih gemar menimbulkan polemik dan ketidakstabilan politik yang hanya menyusahkan rakyat dan mengganggu agenda kerajaan membangunkan negeri ini.
“(Presiden Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal seharusnya menyalahkan diri beliau sendiri serta parti yang beliau pimpin apabila beberapa Ahli Undangan Negeri (ADUN) Warisan keluar parti.
“Dakwaan beliau (Mohd. Shafie) bahawa ADUN Warisan itu keluar parti kerana dibeli bukan sahaja cerita fitnah tetapi politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif kepada Kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri.
“Ucapan Mohd. Shafie di Parlimen baru-baru ini yang membuat tuduhan dengan cerita dongeng bahawa Wakil Rakyat Warisan keluar parti kerana telah dibeli oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang pemimpin yang hanya suka berpolemik dan menimbulkan ketidakstabilan politik di Sabah.
“Jika Presiden Warisan itu mempunyai bukti ADUN partinya dibeli sepertimana dakwaan beliau, maka laporlah pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya hanya membuat dakwaan retorik kerana kelemahannya sendiri lalu menyalahkan orang lain,” kata Nizam dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, sepatutnya Mohd. Shafie bermuhasabah diri bahawa kepimpinan beliau bukan sahaja ditolak oleh ADUN partinya sendiri tetapi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu mendapati parti itu telah semakin ditolak rakyat bila gagal mempertahankan kawasan-kawasan parlimen yang disandang (PRU14), termasuklah kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Penerangan parti itu.































