Jabatan Hidupan Liar diminta untuk ambil tindakan terhadap masalah gangguan monyet liar di Kuala Penyu.
KUALA PENYU: Timbalan Menteri Komuditi dan Perladangan, Datuk Hajah Siti Aminah Aching yang juga Ahli Parlimen Beaufort meminta Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk memasang lebih banyak perangkap di lokasi perkampungan di sini yang diganggu dengan kehadiran kumpulan monyet liar.
“Monyet liar itu bukan sahaja bertindak ganas dengan memakan dan merosakkan tanaman, malah lebih membimbangkan haiwan itu turut menyelinap masuk ke dalam rumah penduduk mengambil makanan serta merosakkan harta benda.
“Saya menerima banyak aduan penduduk tentang ancaman monyet liar dengan populasi yang banyak menghabiskan sejumlah besar tanaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Siti Aminah, peningkatan jumlah haiwan itu sejak tujuh tahun lalu amat membimbangkan dan ia sukar dikawal jika tiada tindakan drastik daripada Jabatan Hidupan Liar.
Katanya, sebuah keluarga di Kampung Kekapor membuat aduan ambil berkongsi gambar-gambar di mana kereta dan rumahnya seringkali menjadi mangsa kumpulan monyet liar itu.
Difahamkan jabatan itu ada memasang satu atau dua perangkap namun ia tidak mampu mengurangkan populasi haiwan itu yang semakin bertambah dari masa ke semasa di seluruh kawasan Kuala Penyu.

Siti Aminah mengesa pihak berwajib terutama Jabatan Hidupan Liar supaya memasang perangkap di setiap kampung yang padat dengan haiwan liar itu agar ancaman monyet dapat dikurangkan.
Beliau mengesa Ketua-ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membuat laporan di Pejabat Daerah tentang kewujudan monyet liar itu supaya tindakan bersasar dapat diambil.































