Dr. Jeffrey merasmikan program penanaman nanas MD2.
BEAUFORT: Kolaborasi swasta untuk melaksanakan dasar kerajaan mengusahakan ladang pengeluaran makanan dapat mempercepat pembangunan sektor pertanian dan seterusnya mengangkat kehidupan petani menjadi usahawan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata pelaksanaan Program AGRO Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 akan menjadi program perintis kepada kolaborasi sektor itu.
”Kolaborasi swasta-kerajaan dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah B40 sehingga berjaya menjadi usahawan peladang kontrak tanaman nanas MD2,” katanya ketika merasmikan Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladadng Kontrak Tanaman Nanas MD2 yang dilaksanakan bersama Syarikat Aqina Borneo Sdn. Bhd. di sini, Sabtu.
Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, yakin kolaborasi itu dapat mempercepat agenda pembangunan kerajaan mewujudkan keterjaminan makanan.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Ruslan Muharam, Setiausaha Tetap Kementerian, Robert Stidi, Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jannie Lasimbang, Pengarah Kumpulan Syarikat Aqina, Dato Haji Abdul Aziz Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee dan Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Monika Gualin.
Di bawah kolaborasi itu, golongan petani dilatih menjadi usahawan tanaman berskala besar dan berinovasi sebagai usaha mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran bidang pertanian kepada kumpulan sasar.
Menurut Dr. Jeffrey, program itu turut melibatkan kolaborasi dengan Aqina Fruits Sdn Bhd, lKPD dan Agrobank bagi membantu golongan B40 dalam penanaman dan pemasaran nanas MD2.
Di bawah kolaborasi itu, Aqina Borneo membekalkan khidmat nasihat pengurusan ladang, kewangan, kaedah, teknik-teknik tanaman nanas MD2 dari peringkat penyediaan tanah hingga tuaian hasil serta pasaran.
”Manakala Agorbank akan membantu pembiayaan kewangan,” katanya menambah, KPD akan membekal rangkaian pemasaran melalui Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) KPD Lingkungan untuk pengeluaran sekitar Beaufort dan Sipitang.
Dr. Jeffrey menjelaskan, APCC dilengkapi fasiliti ruang pengumpulan, penggredan, pembungkusan, pengangkutan hasil pertanian dan perkhidmatan lain termasuk sistem pemasaran digital KPD SMART online.
Beliau berharap program AGRO Komuniti itu dapat berkembang ke daerah dan lokasi lain agar golongan B40 mendapat manfaat, peluang pekerjaan dan mengembang potensi menjadi usahawan berjaya.































