Juliah menerima cenderamata daripada Fazilah semasa menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Negeri Sabah (IIUM Alumni Sabah Chapter) di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Hajah Juliah Salag menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Negeri Sabah (IIUM Alumni Sabah Chapter) di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini hari ini.
Alumni UIAM diketuai oleh Naib Presidennya, Fazilah Musa memberi penerangan kepada Juliah tentang program “Seminar Peranan Wanita Dalam Membangun Malaysia Madani” yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada bulan Mac ini.
Program itu akan diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang akan dirasmikan oleh Juliah.
Juliah mengalu-alukan penganjuran seminar itu dan yakin ia dapat membantu memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya para wanita mengenai slogan Malaysia Madani.
Katanya, wanita perlu diberi pendedahan tentang konsep Malaysia Madani dan bagaimana peranan mereka untuk sama-sama menyumbang dalam membangunkan sebuah negara yang berkonsepkan Malaysia Madani.
Turut hadir ialah bendahari alumni, Rohayu Mohd.Deroh, Dayang Fauziah Datu Ibrahim (Biro Pendidikan), Sarimah Mohd.Yusof (Biro Kebajikan) dan Roslan Idris (Biro Sukan).

Juliah menerima surat jemputan merasmi Majlis Apresiasi Murid semasa menerima kunjungan hormat rombongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tuaran di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.
Sementara itu, Juliah turut menerima kunjungan hormat daripada rombongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tuaran yang diketuai oleh Guru Besarnya, Mohamad Juin@ Mohd bin Nauli @Moli.
SK Pekan Tuaran dan PIBG menjemput Juliah merasmikan Majlis Apresiasi Murid yang akan diadakan di Dewan Sri Sulaman, Tuaran, pada 16 Februari 2023.



























