Kereta Proton Iswara yang dilarikan tiga lelaki berjaya ditemukan semula di Simpang Renggam
BATU PAHAT: Tiga lelaki tidak sempat untuk menikmati hasil samun apabila mereka berjaya dicekup polis dalam tempoh 24 jam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tiga rakan yang berusia antara 33 hingga 44 tahun dan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah ditahan di dua kediaman berasingan di Simpang Renggam kira-kira pukul 2 pagi Sabtu.
Sebelum itu, polis menerima laporan daripada seorang warga asing yang menyatakan dia disamun ketika tidur di rumahnya kira-kita pukul 4 pagi Jumaat.
Pengadu memaklumkan, wang tunai dan barang peribadi, kumpulan penjenayah tersebut turut melarikan kereta Proton Iswara.
“Susulan itu, pasukan penyiasat IPD Batu Pahat berjaya mengesan tiga lelaki warga tempatan sebelum serbuan dilakukan pukul 2 pagi tadi (kelmarin).
“Hasil serbuan itu, kita berjaya menemukan semula kereta Proton Iswara yang dilaporkan oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tiga penjenayah tersebut ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397/379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.





























