Mohd Zuki (kanan) sempat memeriksa tahap kerosakan salah satu tiang bangunan yang dilawati.
KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Jumaat, mengadakan lawatan madani bagi meninjau keperluan serta persekitaran kerja warga Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah.
Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Ubi turut bersemuka dengan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa serta Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Aminah Samsudin Mohd di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Digital dekat Kepayan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) JPM, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool.
Terdahulu, beliau dan rombongan melawat struktur bangunan yang rosak teruk di Wisma Dang Bandang iaitu pejabat JaPen Sabah dengan jumlah 120 orang warga kerja.
Selain JaPen Sabah, bangunan 11 tingkat tersebut juga menempatkan enam lagi jabatan terdiri daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Perangkaan, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pertanian (Unit Kawalan Racun Perosak) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Kementerian Kerja Raya Malaysia pada 4 Oktober lepas, mengeluarkan syor pengosongan serta merta bangunan berusia 38 tahun itu bagi memastikan keterjaminan keselamatan dan keselesaan pengguna.
Mohd Zuki yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke negeri ini sejak semalam, dijadual mengadakan pemantauan ke beberapa projek pembangunan persekutuan di sekitar ibu negeri antaranya, Kuarters Persekutuan di KM.4 Jalan Tuaran dan Projek Perumahan Rakyat di Kiansom di Inanam yang masing-masing melibatkan 48 unit dan 1,000 unit rumah./





























