Dr Jeffrey (depan, tengah) bergambar bersama ahli-ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada mesyuarat pertamanya hari ini.
KOTA KINABALU: Tuaran akan menjadi tuan rumah pelancaran sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Ini diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan pada mesyuarat pertamanya yang diadakan di dewan serbaguna Wisma Pertanian di sini hari ini.
Mesyuarat itu juga menyaksikan dua daerah lain, Ranau dan Sandakan disenarai pendek sebagai tempat acara.
Penganjuran pesta selama sebulan itu yang berlangsung pada bulan Mei setiap tahun, disambut secara tradisi oleh masyarakat orang asal di Sabah khususnya Kadazandusun. Bagaimanapun, ianya juga diraikan oleh semua masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.
Sambutan selama sebulan itu mencapai kemuncaknya pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang.































