Pasukan penyelamat mengusung mayat lelaki yang ditemukan lemas di Sungai Paka, Dungun, petang kelmarin.
DUNGUN : Pencarian pemuda yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Paka semalam berakhir selepas mayatnya ditemukan pasukan penyelamat di Sungai Paka di sini, petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, mayat lelaki berusia 31 tahun yang mempunyai gangguan bipolar ditemukan lemas di sungai tersebut pada jarak 20 meter dari lokasi dia dipercayai terjun kira-kira pukul 4.10 petang.
“Mayat mangsa di dasar sungai pada kedalaman kira-kira dua meter tersangkut di bawah timbunan ranting kayu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, petang kelmarin.
Pemuda dari Taman Murni Perdana, Paka itu terjun dari Jambatan Paka pada pukul 9.10 malam tadi dan tindakan lelaki itu disedari seorang penunggang motosikal sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
Baharudin memberitahu, keadaan air sungai yang surut turut membantu memudahkan pencarian mangsa di dasar sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat hampir sembilan jam tersebut disertai 42 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Bomba dan Penyelamat, serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.






























