Tangkap layar video tular Norazlinah, Ben Chong dan Mohammad mengisytiharkan keluar Parti Warisan.
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Warisan, Norazlina Arif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, bersama dua lagi ADUN Warisan, Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi) mengisytiharkan keluar parti hari ini untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Ben Chong and Mohammad juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan.
Mengumumkan keputusan mereka itu dalam satu video yang tular hari ini, Norazlina yang mewakili mereka berkata, mereka mengambil keputusan tersebut setelah memperhalusi pelbagai aspek, dari segi dan segenap sudut pertimbangan, termasuklah selepas mengambilkira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi di kawasan yang mereka wakili.
“Maka kami dengan ini mengisytiharkan keluar Parti Warisan dan memilih untuk berkhidmat sebagai ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor, selaku Ketua Menteri, dengan harapan agar kami dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepada Presiden Warisan, rakan-rakan dan penyokong parti.
“Seiringan dengan itu, kami melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat AMT,” katanya.
“Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya politik-politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada Kerajaan perlu dihentikan,” kata Norazlinah lagi.
Dengan ini, Warisan kini tinggal 16 ADUN.































