Keadaan kebakaran di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, pagi tadi.
KOTA KINABALU: Sebanyak enam buah rumah dan dua buah kereta musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Sepanggar, di sini pada hari Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Kampung Sepakat Jaya kira-kira jam 8 pagi tadi.
“Kita menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.06 pagi dan sepasukan seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, dibantu oleh pasukan dari balai bantuan, BBP Tuaran dan Unit Drone JBPM, selain daripada agensi lain seperti PDRM, SESB, JBA, RELA dan APM.
“Di lokasi, kita mendapati satu kebakaran melibatkan enam buah rumah jenis tidak kekal dan dua buah kenderaan terbakar 100 peratus dan dua buah rumah terkena kesan bahangan,” katanya.
Agustavia berkata, pemadaman menggunakan empat aliran 800 kaki dan lapan pancutan dari air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Seorang anggota daripada BBP Lintas, iaitu PB Bonaventure James turut mengalami sesak nafas semasa operasi dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Operasi terkawal pada jam 9.16 pagi dan setelah memastikan tiada bahaya lain terlibat operasi ditamatkan pada jam 12.57 tengah hari,” katanya.





























