Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
RANAU: Penduduk sebuah kampung di Kundasang dekat sini dinasihatkan supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang risiko tidak diingini ekoran kejadian mendapan tanah membabitkan satu kawasan di situ kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian melibatkan bahagian lereng bukit di Kampung Lembah Permai Kundasang.
Beliau berkata, hasil soal selidik bersama penduduk di situ, kawasan tersebut dianggarkan berukuran kira-kira 150X700 meter membabitkan rumah, kebun sayur serta penginapan dan inapdesa.
“Kami dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui talian balai pada jam 11.35 pagi dan tiga anggota yang diketuai oleh saya sendiri telah pergi menyiasat lokasi yang terletak 17 kilometer dari balai.
“Di tapak itu, kami mendapati terdapat mendapan tanah di kawasan rumah si pemanggil. Saya telah menasihati penduduk supaya berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk dan kes diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan susulan,” katanya.
Menurut Ridwan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan menjalankan pemeriksaan susulan di lokasi tersebut.
Tambahnya, BBP Ranau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan penduduk di situ perlu berwaspada jika ada tanda-tanda keadaan semakin teruk di kawasan itu.
Operasi ditamatkan pada jam 1 petang.