Pasukan bomba melakukan operasi memindahkan mangsa banjir tersebut. – Ihsan Bomba
KENINGAU: Seramai 112 penduduk kampung di sini berjaya diselamatkan bomba selepas kediaman mereka dinaiki air, mengakibatkan penduduk berkenaan terperangkap oleh air banjir.
Keadaan hujan berterusan di sini mengakibatkan banjir di beberapa buah kawasan termasuk Kampung Mempulut, Keningau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 1 pagi hari ini.
“Kita menerima panggilan berkaitan insiden tersebut melalui talian balai dan sepasukan seramai tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Norhasrita Abdul Manan bersama sebuah enjin FRT, sebuah bot dan kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di Kg. Mempulut yang terletak 16 kilometer dari BBP, pihak bomba yang turut disertai anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati terdapat 112 orang mangsa terperangkap di kawasan banjir.
“Pasukan bomba bersama agensi lain bertindak mengeluarkan dan memindahkan mangsa yang terlibat,” katanya.
Menurut Sharudy, mangsa yang terdiri daripada 19 keluarga itu seterusnya dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kg. Membulu dan rumah saudara-mara terdekat.
“Operasi ditamatkan pada jam 10 pagi namun pemantauan dilokasi terjejas banjir masih dijalankan,” jelas beliau.





























