Ewon (tengah) dan Saraswathy (kiri) mengabdikan gambar kenangan bersama para penerima sijil.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi membantu graduan menerusi program PROTÉGÉ.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata jumlah peruntukan bagi tahun 2023 ini adalah untuk membantu seramai 12,450 graduan dan mahasiswa melalui program-program yang dirancang oleh PROTÉGÉ.
“Daripada jumlah tersebut, RM1.5 juta akan digunakan untuk membiayai modul Entrepreneurship 101 (ETR 101) yang dijangka akan memberikan manfaat kepada 5,000 peserta.
“ETR 101 adalah satu daripada tujuh modul wajib dalam Latihan Kemahiran Insaniah program PROTÉGÉ Ready To Work (RTW) yang bertujuan mempersiapkan mereka dengan minda keusahawanan seiring kemahiran-kemahiran penting.
“KUSKOP juga amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, syarikat swasta dan lain-lain dalam menjayakan agenda penting kerajaan mengurangkan kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan graduan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Keusahawan dan Kebolehpasaran PROTÉGÉ KUSKOP bagi tahun 2023 di sini, pada Selasa.
Tambah Ewon, PROTÉGÉ RTW merupakan pilihan tepat untuk dijadikan batu loncatan bagi graduan dan mahasiswa yang ingin membina kerjaya impian selepas bergraduasi sekaligus meningkatkan potensi kebolehpasaran serta memupuk kemahiran keusahawanan.
“Pendekatan yang dirangka di bawah halatuju strategik ini akan menzahirkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan.
“Para graduan juga diseru untuk melipatgandakan usaha bagi mendapatkan kerjaya impian dan menanam tekad yang teguh untuk menjadi Job Creator (usahawan) yang berdaya saing dan mampan,” ucapnya lagi.
Dalam majlis yang sama, Ewon turut menyempurnakan sesi penyampaian sijil penyertaan kepada 20 usahawan graduan di Sabah yang telah menyertai Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp (N-GENE) pada tahun 2022.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad.