Hajiji menerima pelan tindakan TPB2030 daripada Md. Silmi selepas kunjungan hormat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi menjayakan program dan inisiatif pembangunan Bumiputera di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Teraju yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Md. Silmi Abd. Rahman di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Semasa mesyuarat itu, Md. Silmi memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), iaitu pelan hala tuju 10 tahun yang menggariskan strategi dengan program dan inisiatif pembangunan yang ketara dan terperinci untuk memberikan impak yang boleh diukur kepada Bumiputera.
TPB2030 adalah kesinambungan dasar dan rancangan Bumiputera terdahulu dengan tujuan memperkasakan ekonomi Bumiputera bagi memastikan kemampanan dan kesaksamaan, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) supaya tidak ada Bumiputera yang ketinggalan.
Turut sama dalam delegasi itu ialah Pengarah, Samsulkamar Mohamad Ali, Pengarah Bersekutu, Noorezly Aimy Mohd. Noor dan Muhammad Hilmi Abd Adzis, serta Ketua Program – Sabah, Md. Redzuan Rahman.































