Jambatan gantung Mohimboyon yang baharu siap.
RANAU: Pembinaan jambatan gantung bernilai RM150,000, sebagai pengganti sementara jambatan konkrit yang dihanyutkan arus deras di Kampung Mohimboyon di sini baru-baru ini, telah siap.
Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) Lok Kawi menulakan pembinaan di tapak jambatan konkrit musnah yang menghubungkan Kg. Mohimboyon dan Kg. Lipantai pada 9 Jan lepas.
Jambatan gantung itu bertindak sebagai lintasan sementara penduduk kampung serta murid sekolah yang lebih selamat dan kukuh berbanding lintasan buluh sementara yang mereka bina di sini sebelum ini.
Kerja-kerja pembinaan jambatan gantung sepanjang 50 meter itu dilakukan oleh anggota ATM manakala BQ dan pelan disediakan oleh Pejabat Daerah Ranau termasuk bahan-bahan binaan. Keseluruhan proses pembinaan mengambil masa kira-kira dua minggu.
Jalan terbabit bukan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tiada aset JKR digunakan selain aset pembinaan milik tentera.
Peruntukan untuk projek itu disalurkan daripada Tabung Bencana Alam Negeri.
Keputusan untuk membina jambatan gantung telah dibuat kerana ia pantas dibina untuk digunakan oleh orang ramai dan pelajar.
Sebuah jambatan konkrit bernilai RM500,000 untuk kenderaan telah dirancang, namun memerlukan sedikit masa untuk dibina.
Pejabat Daerah sedang menentukan reka bentuk untuk pelaksanaan jambatan konkrit tersebut.
Pegawai Daerah, Jumain Abdul Ghani merakamkan Penghargaan Kepada Rejimen Askar Diraja (RAJD) Kem Lok Kawi atas komitmen membantu menyiapkan jambatan gantung Sungai Tahukad, Kg Mohimboyon Ranau.
Jambatan asal musnah oleh banjir besar baru-baru ini.
“Alhamdulillah, jambatan gantung ini siap dalam tempoh dua minggu memandangkan kegunaan penting para pelajar dan warga Kg. Mohimboyon dan Kg. Lipantai.
“Untuk jambatan konkrit pihak Pejabat Daerah sedang dalam proses menyiapkan persiapan akhir,” katanya.
Susulan kemusnahan jambatan konkrit asal, penduduk di kedua-dua kampung itu mempertaruhkan keselamatan mereka sendiri untuk membina lintasan buluh sementara susulan jambatan yang menghubungkan kedua-dua kampung itu runtuh.
Jambatan konkrit sebelum ini dihanyutkan selepas arus deras air Sungai Tahukag yang melimpah akibat hujan lebat berterusan, manakala jambatan buluh sementara turut mengalami nasib serupa.
Kelmarin, pembukaan jambatan gantung Kg. Mohimboyon sebagai laluan utama dan perhubungan antara Kg. Lipantai dan Kg. Waang Lama telah dirasmikan oleh ATM bersama ketua kampung dan beberapa penduduk di sini.































