Jainisah (tiga dari kiri, depan) merakamkan gambar kenangan bersama Hadzlan (tiga dari kanan), Rosli (dua dari kiri, depan) dan Najib (kiri, depan) serta warga JaPen Sabah.
PAPAR: Meskipun teknologi komunikasi semakin pesat, namun peranan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) masih relevan dan signifikan.
Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee berkata JaPen menerusi Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Papar memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat kerajaan kepada masyarakat di daerah ini.
“Walaupun hari ini kita mempunyai banyak teknologi komunikasi, namun dalam konteks Negeri Sabah yang belum diliputi jaringan jalur lebar sepenuhnya pada saya, peranan JaPen sangat signifikan.
“Peranan ini dapat dilihat terutama sekali semasa Daerah Papar dilanda penularan Covid-19 yang mana ketika itu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal jangkitan.
“Pada waktu itulah kita melihat kelibat Unit Bergerak JaPen yang keluar masuk kampung menyampaikan maklumat terkini daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Covid-19 termasuk menghebahkan SOP secara terus kepada penduduk di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” jelasnya di sini, pada Rabu.
Hadzlan yang ditemui media pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, turut merakamkan penghargaan dan terima kasih serta berharap kerjasama padu itu dapat diteruskan.
“Sepanjang saya bertugas di Daerah Papar, saya amat berterima kasih kepada Jabatan Penerangan Papar kerana sentiasa membantu Kerajaan Negeri dalam operasi atau kerja-kerja luar pejabat terutama penganjuran majlis-majlis kerajaan yang diadakan di daerah ini.
“Saya juga berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau.
Turut hadir, Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Rosli Ibrahim.
Terdahulu, Jainisah mengadakan lawatan kerja ke PPD Papar diikuti PPD Penampang bagi meninjau secara dekat permasalahan yang dihadapi anggota di kedua-dua daerah tersebut.
Mengiringi beliau dalam lawatan berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah (KPP) Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Azman Sipan, KPP Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Nur Diyana Ujit, Pegawai Penerangan Daerah Papar, Mohd Najib Juanis, Pegawai Penerangan Daerah Putatan, Nordin Seman serta para pegawai kanan.































