Idris Abdullah
KOTA KINABALU: Sebanyak 409 kemalangan jalan raya dilaporkan sepanjang pelaksanaan “OP Selamat 19” sempena Tahun Baharu Cina di Sabah dari 18-24 Januari, peningkatan sebanyak 106 kes atau 35 oeratus berbanding dengan tempoh sama pada “Op Selamat 17” yang lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bagi kes kemalangan pada “Op Selamat 19” yang menyebabkan kematian, lima orang maut berbanding “Op Selamat 17” yang mencatatkan enam kematian yang menunjukkan penurunan sebanyak satu kes.
Sementara itu katanya, bagi kes pecah rumah, bermula 18 hingga 24 Januari 2023, sebanyak 25 kes telah dilaporkan namun tiada kejadian kes pecah rumah bagi tuan rumah yang telah memaklumkan kepada pihak polis untuk pulang bercuti.
“Sebanyak 100 laporan/borang balik kampung yang dibuat oleh masyarakat dan pihak polis telah melakukan sebanyak 1,189 lawatan ke kediaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh “Op Selamat 19” dijalankan, sebanyak 157 operasi telah dijalankan dan 6,845 keping saman telah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
Jelasnya, seramai 19 orang telah ditangkap di bawah Seksyen 45(1) APJ 1987 (mabuk), Seksyen 6(1)©️ Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.
Semasa “Op Selamat 19” ini dijalankan sebanyak 44 buah kenderaan pelbagai jenis telah di rampas/sita atas pelbagai kesalahan.
“Adalah menjadi harapan saya agar semua lapisan masyarakat dan pengguna jalan raya amnya sentiasa berhati hati serta mengamalkan sikap bertolak ansur semasa memandu di jalan raya.
“Keselamatan di jalanraya adalah menjadi tanggungjawab kita bersama agar kita dapat mengurangkan jumlah kemalangan semasa musim perayaan ini. Semoga perayaan Tahun Baru Cina 2023 ini disambut dengan meriah dan selamat,” ujar beliau.































