TUARAN: Dua individu dilaporkan selamat manakala seorang lagi hilang apabila sebuah bot nelayan dinaiki mereka dipukul ombak dan karam di laut berhampiran kawasan sebuah resort di Karambunai dekat sini pagi tadi.
Sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, PKPgB Mohd. Qawie Abd. Gapar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.11 pagi.
Menurut si pemanggil, terdapat tiga orang mangsa terlibat, dan dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri berenang ke pantai manakala seorang masih hilang.
Setiba di lokasi kejadian, pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah surface searching menggunakan bot di tepi pantai kerana keadaan ombak yang kuat menyukarkan pergerakan bot ke laut.
Turut terlibat ialah anggota polis, polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).































