Masiung (tiga dari kiri) ketika melawat Projek Pekan Baharu Tongod sambil diperhatikan Rosemary (kiri).
TONGOD: Kerajaan Negeri bersetuju untuk mewujudkan sebuah pekan baharu di daerah itu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan untuk membina dua deret kedai bertingkat mengandungi 12 unit di atas tapak seluas 6.24 ekar.
Katanya, bagi fasa pertama yang melibatkan pembinaan enam unit kedai bertingkat akan mula dilaksanakan pada awal tahun ini sebaik sahaja juruperunding menperolehi kelulusan dari Majlis Daerah Tongod.
“Pelan cadangan projek komersial itu telahpun siap sepenuhnya dan kita telahpun mendapat tempahan awal daripada syarikat pasaraya termasuk restoran KFC,” katanya sejurus melawat tapak Projek Pekan Baharu Tongod, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, yakin Tongod mampu menjana lebih banyak program pembangunan untuk tempoh lima tahun ke hadapan memandangkan daerah itu terletak di bawah program koridor pembangunan “Sabah Maju Jaya”
Menurut beliau, sebaik sahaja projek komersial itu selesai, maka akan menyusul satu lagi projek perumahan kos rendah melibatkan 50 unit yang terletak bersebelahan bangunan kedai bertingkat tersebut.
Perumahan kos rendah itu kelak akan dibina secara berfasa dan akan dijual kepada orang awam yang berkelayakan dengan harga di bawah RM50,000.
Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping, Pengurus Bahagian Komersial, Della Sindul berserta para pegawai kanan LPPB turut serta dalam lawatan tapak tersebut.