Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengiringi Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin ketika memukul gendang sebagai tanda rasminya Majlis Santapan Tahun Baharu Cina bersama Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah di Port View Palace Hall Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mahu keharmonian dan keamanan yang dikecapi oleh rakyat serta negeri selama ini terus berkekalan serta terpelihara.
Katanya, Kerajaan Negeri juga akan memastikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama, dapat meraikan perayaan mereka masing-masing.
“Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Krismas dan Aidilfitri perlu dijadikan medan untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan.
“Pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor bersama Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin melakukan Yee Sang sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina bersama Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin, di Port View Palace Hall Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, hari ini.
“Sebab itu, pada tahun ini, kita memperuntukkan sejumlah RM54.05 juta untuk tujuan itu dalam belanjawan negeri tahun ini. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding pada tahun lepas,” katanya sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin, di Port View Palace Hall Tanjung Lipat di sini, hari ini.
Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan.
Majlis ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), yang kali pertama diadakan sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat majlis itu bukan saja dihadiri masyarakat Tionghua malah turut dimeriahkan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menerima cenderamata daripada Dewa Kekayaan (Cai Shen Ye) sambil diperhatikan oleh Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T.C Goh sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina bersama Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin, di Port View Palace Hall Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, hari ini.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan rakyat akan diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.
“Ini juga adalah kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyatnya,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah melakukan yang terbaik pada tahun 2022 dan berada di landasan yang betul di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka. Ini juga adalah komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri agar Sabah terus maju.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor (tengah) bersama Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon menunjukkan kaligrafi cina yang mereka tulis sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Sandakan di Dewan Hakka Sandakan, Sandakan, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Jeffery Kitingan dan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
“Kami tidak akan berputus asa tetapi akan meneruskan momentum ini. Saya mahu rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami dalam perjalanan ini dan. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang berterusan selama ini,” kata Hajiji.
Terdahulu, Ketua Menteri turut menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon, di Sandakan.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata, banyak yang boleh dilakukan sekiranya pemimpin dan rakyat terus bersatu serta terus meraikan kejayaan seperti pulangan hasil negeri yang baik dan merekodkan peningkatan pelaburan asing.
Mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Cina atas sokongan berterusan, beliau memuji kepintaran, keazaman dan daya tahan mereka dalam perniagaan yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor beramah mesra dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Sandakan di Dewan Hakka Sandakan, Sandakan, hari ini.
“Inilah masanya untuk kita bersama-sama menggerakkan agenda pembangunan dan berkongsi aspirasi melalui sikap saling mempercayai serta menghormati,” katanya.