Yong Teck Lee
KOTA KINABALU: Sabah diyakini akan tampil lebih kuat berbanding sebelum ini dalam penjajaran semula politik Malaysia baharu yang menunjukkan orde dunia yang tidak menentu dengan pelbagai pemusatan kuasa.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, bertentangan dengan banyak ramalan penganalisis ekonomi seperti yang dilaporkan dalam media, beliau percaya bahawa tahun Arnab 2023 bukanlah tahun kemelesetan ekonomi bagi Asia, termasuk Sabah.
“Sebaliknya, di Sabah, petunjuk utama pertumbuhan ekonomi seperti peningkatan pelaburan dalam pembuatan, pengeluaran tenaga, pengeluaran makanan, dalam hartanah, pelancongan dan juga logistik akan menyaksikan Sabah terus berkembang lebih sihat berbanding sebelum ini.
“Bagi Malaysia pula, mata kita tertumpu kepada keperluan kestabilan politik,” kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Mesej Tahun Baharu Cina hari ini.
Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, kelebihan perubahan politik Malaysia sejak perubahan penting pada 2018 ialah rakyat Malaysia kini boleh menarik nafas lega bahawa perubahan kerajaan persekutuan tidak membawa kepada kacau bilau dan keganasan jalanan.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia telah melihat lima Perdana Menteri, situasi yang biasa kita guraukan tentang negara lain seperti Itali dan Jepun.
“Pesanan saya kepada rakyat Malaysia di Sabah adalah untuk kekal sihat, bekerja keras dan ceria,” kata Yong yang juga mantan Ketua Menteri Sabah sambil mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Sabah yang merayakannya.































