Anggota MOSAR merawat mangsa yang cedera.
RANAU: Seorang lelaki warga Nepal berusia 30an menjadi mangsa terbaru di Gunung Kinabalu apabila mengalami bengkak buku lali ketika mendaki di sini kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 pagi di kilometer 6.1 denai mendaki Gunung Kinabalu.
“Balai Bomba dan Penyelamat Ranau menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR).
“Sepasukan penyelamat diketuai Komander Operasi, PBB Suparin Kumin dan dua malim gunung bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang pendaki terseliuh kaki dan bengkak buku lali kiri.
“Pasukan PBB Mosar bersama malim gunung memberi rawatan awal kepada mangsa dan kemudian memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut Ridwan, mangsa kemudian diiringi turun ke Timpohon Gate dengan berjalan kaki kerana enggan diusung dengan pengusung.
Katanya, operasi tamat pada 10.05 pagi.
Setakat ini terdapat dua kejadian di Gunung Kinabalu tahun ini, di mana kes pertama berlaku pada 9 Jan yang melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang mengalami kekejangan otot.































