Juliah bersama Azrul (dua dari kiri) dan Marcellus (kanan) semasa menerima kunjungan hormat mereka di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Filem berunsur sejarah Sabah seperti “Silence of The 177” perlu dihayati oleh generasi muda negeri ini, kata Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.
Katanya, ini penting agar anak-anak muda memahami sejarah perjuangan generasi terdahulu dalam menentang penjajah asing.
“Generasi muda perlu didedahkan dengan filem-filem patriotik tempatan yang mengetengahkan kisah benar perjuangan para pejuang kita menentang penjajah kerana ramai dikalangan mereka tidak tahu tentang kisah dan sejarah tersebut.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengarah dan Penerbit filem “The Silence of the 177”, Encik Marcellus Abas dan krew kerana berjaya menerbitkan filem kisah sejarah Sabah.
“Ini merupakan filem sejarah Sabah yang kedua diterbitkan selepas filem Mat Salleh Pahlawan Sabah yang diterbitkan pada era awal 80an yang mengisahkan penentangan terhadap penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada rombongan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Marcellus Abas di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini, hari ini.

IKRAR yang diketuai oleh Pengarahnya, Azrul Ibrahim turut menjemput Juliah bersama- sama ratusan belia untuk menyaksikan tayangan filem “The Silence of the 177” yang akan mulai ditayangkan di seluruh negara bermula 12 Januari 2023.
Juliah berharap, lebih banyak filem mengenai sejarah negeri ini akan diketengahkan oleh pengarah dan penerbit filem, termasuk kisah Bobohizan yang memainkan peranan penting dalam perayaan Pesta Kaamatan.
“Kisah mengenai Bobohizan semakin dilupakan oleh generasi muda negeri ini, usaha perlu dibuat untuk membuat filem mengenainya,” tambahnya.
Sementara itu, Azrul berkata, IKRAR akan membantu promosi filem “The Silence of the 177” sebagai usaha membantu penggiat seni tempatan yang mengetengahkan filem berunsur sejarah Sabah.































