Ewon ditemui media selepas menghadiri pertemuan dengan Hajiji di Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengulangi pendiriannya untuk tidak menyokong sebarang bentuk ‘Sheraton Move’.
Beliau berkata, semua wakil Pakatan Harapan (PH) di Sabah secara kolektif tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya telah menawarkan pendapat saya kepada beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) semalam. Kami mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
“Saya telah menyatakan pendirian kita dengan sangat jelas, bahawa kita tidak mahu ada usaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri sekarang. Kami tidak boleh menerima mana-mana kerajaan pintu belakang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri ADUN dari PH Sabah, serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barusan Nasional (BN) Sabah dan Bebas.
Menurut Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Anwar menghormati pendirian Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Frankie Poon Ming Fung (Tanjung Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas), Peto Galim (Inanam), dan dirinya sebagai ADUN Kadamaian.
“Ini mengenai prinsip. Saya tidak fikir beliau (Anwar) akan membeli idea untuk menjatuhkan mana-mana ketua menteri ketika ini.
“Ini adalah langkah Sheraton versi Sabah. Kami tidak boleh terima itu (kerajaan pintu belakang) … Ini adalah prinsip yang sangat penting kepada kami,” tambahnya.































