Hisyamuddin (tengah), Chin (empat kanan), Jimmy (empat kiri) dan penerima sumbangan CSR dalam majlis tersebut.
RANAU: Tindakan berbakti kepada masyarakat oleh badan korporat dan organisasi perniagaan adalah contoh teladan yang perlu dicontohi pertubuhan lain, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Kita melihat banyak perniagaan berkembang maju di daerah ini sejak beberapa dekad lalu, hasil sokongan penduduk tempatan di sini yang membolehkan kedai dan premis tertentu berkembang maju.
“Hasil hubungan baik antara penduduk dan pemilik perniagaan di sini berjaya menaikkan ekonomi daerah ini selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya golongan belia.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pemilik perniagaan yang menghargai hubungan baik dengan seluruh masyarakat kerana ini adalah salah satu ramuan untuk perpaduan dan keharmonian kita di sini,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Liang Furniture Ranau yang diadakan di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun.
Abidin yang juga ADUN Paginatan memuji Liang Furniture Ranau kerana meraikan ulang tahun penubuhannya dengan memberikan semula kepada masyarakat dengan sumbangan, cenderahati dan jamuan.
“Tetapi yang paling penting, kita gembira hari ini melihat pertubuhan yang kini mempunyai cawangan di seluruh Sabah, menyumbang semula kepada masyarakat dengan menderma RM5,000 setiap satu kepada tiga institusi amal di sini,” katanya.
Dalam majlis itu, kedai itu menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Rumah Anak Yatim dan Asnaf, Rumah Kanak-Kanak Don Bosco dan Pertumbuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau.
Selain itu, ia turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini berikutan hujan lebat yang berterusan.
Dalam pada itu, Abidin turut memuji pemilik Liang Furniture Ranau, Chin Yun Hing serta pemilik perniagaan lain yang tabah sepanjang berdekad mengharungi jatuh bangun ekonomi dan terus membawa barangan dan perkhidmatan bermutu kepada penduduk di sini.
Kedai itu mengadakan Sambutan Ulang Tahun ke-20 pada Ahad dengan menawarkan hadiah utama cabutan tiket bertuah dalam bentuk sebuah kereta Perodua Axia G (Auto) baharu.
Kedai perabot itu memulakan operasi perniagaannya pada 1 November 2002 dan merupakan cawangan pertama di Ranau selain beberapa cawangan di daerah lain di Sabah.
Chin berkata, pada mulanya premis itu dibuka di tapak seluas 20×40 kaki sahaja (800 kaki persegi) dan kini premis itu telah berkembang sehingga lebih 10,000 kaki persegi.
Kini, ia adalah yang terbesar dan antara kedai perabot tertua di Ranau.
Ia kini dibantu oleh 17 pekerja tempatan manakala secara keseluruhannya di negeri Sabah, ia kini memberi peluang pekerjaan kepada lebih 200 pekerja tempatan.
Menurut Chin, antara rahsia kejayaan syarikat itu ialah menjual barangan pada harga sama seperti yang dijual di Kota Kinabalu tanpa mengira lokasi di Ranau yang jauh dari pusat bandar.
Turut hadir, Presiden Persatuan Hakka Ranau dan Kapitan Cina Paginatan, Datuk Jimmy Tham Nyuk Leong, penaja, pembekal dan wakil dari Pejabat Daerah Ranau, antara lain.































