Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memuji keputusan Kabinet Persekutuan memberikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak untuk projek pembangunan di bawah RM50 juta.
“Ia adalah satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain penyerahan kuasa pengawalseliaan sumber gas kita.
“Ia sudah pasti akan membantu dalam kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sentiasa terhalang oleh karenah birokrasi yang menyusahkan sebelum ini,” kata Ketua Menteri.
Mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ini sememangnya berita baik, tambahnya.
Hajiji mendedahkan bahawa beliau dan rakan sejawatannya di Sarawak akan bertemu dengan Perdana Menteri untuk memuktamadkan beberapa perkara di bawah MA63, antaranya isu geran khas.
Beliau juga berkata jawatankuasa kerja dan kajian semula MA63 akan diteruskan di bawah pengerusinya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Berita baik lain dijangka, katanya ialah peruntukan tambahan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo untuk Sabah untuk mempercepatkan penyiapannya.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama tahun ini, Anwar mengumumkan bahawa autonomi penuh akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk projek di bawah RM50 juta dengan pematuhan sewajarnya kepada peraturan monetari yang ditetapkan.































