Jahid (tengah) bersama AJK penganjur kempen.
TENGHILAN: Pergerakan Pemuda PBS N.14 Tamparuli sekali lagi berjaya mengadakan program ‘Kempen Derma Darah Selamatkan Nyawa’ Siri Ke-2, di Dewan SRA Tenghilan, kelmarin.
Kolaborasi dengan Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) dan Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II sekali lagi berjaya, walaupun kali ini jumlah penderma agak kurang berbanding sebelumnya.
“Difahamkan bulan lalu juga telah diadakan kempen derma darah di tempat yang sama oleh penganjur berbeza, ini antara faktor kemungkinan jumlah penderma kurang,” kata Pengerusi Penganjur, yang juga Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PBS N.14 Tamparuli, Joanes Robert Johnny.
Bagaimana pun, beliau menghargai kehadiran penderma yang telah menyahut pelawaan mereka.
“Ini membuktikan semangat dan keprihatinan tinggi mereka membantu pihak tabung darah hospital mengumpul bekalan darah bagi membantu para pesakit yang memerlukan,” ujar beliau ketika dihubungi.
Katanya, biar pun diadakan pada waktu bekerja, namun masyarakat tetap hadir menyokong program berkenaan.
Turut hadir memberi sokongan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim yang juga ADUN Tamparuli.
Para penderma budiman menerima beras yang disumbangkan oleh Jahid, selain buah tangan sumbangan pihak hospital.
Pada program tersebut, sebanyak 12 pain darah telah berjaya dikumpulkan.
Seramai tujuh kakitangan Hospital Queen Elizabeth II yang hadir mengendalikan proses menderma darah, 16 penderma berdaftar, manakala 12 orang berjaya menderma.
Untuk rekod, sebelum ini mereka juga telah mengadakan program Kempen Derma Darah pada 16 Februari 2023, juga di tempat yang sama.































