KOTA KINABALU: Pihak berwajib diharap akan terus-menerus memberi sokongan, kemudahan dan bantuan kepada pemain-pemain industri pelancongan tempatan di Sabah.
Penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Rashid Ating berkata, hal ini dapat dicapai dengan memberi tumpuan kepada industri pelancongan sebagai satu wadah dalam meningkatkan lagi sumber pendapatan negeri ini.
“Perkembangan aktiviti ekonomi dalam industri pelancongan secara tidak langsung akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi, wujudnya peluang-peluang pekerjaan dan memerkasakan golongan wanita, warga emas dan kanak-kanak di Sabah,” katanya.

Rashid Ating
Sabah dilimpahi dengan pelbagai sumber semula jadi seperti hasil hutan, petroleum dan kawasan-kawasan menarik yang tumpuan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Menurut Rashid, secara puratanya, Sabah akan menerima 15.5 million pelancong domestik setiap tahun.
“Jika Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berstatus ibu negara Malaysia dikecualikan, Sabah adalah negeri yang mempunyai jumlah pelawat domestik tertinggi.
“Jumlah pelawat yang paling ramai pernah melawat Sabah direkodkan adalah pada tahun 2019, 22 juta (sebelum wabak Covid-19) melanda seluruh dunia manakala tahun yang merekodkan jumlah pelawat yang paling sedikit adalah pada tahun 2021 dengan 3.8 juta.

Nota:
JHR – Johor; KDH – Kedah; KTN – Kelantan; MLK – Malacca; NSN – Negeri Sembilan; PHG – Pahang; PNG – Penang; PRK – Perak; PLS – Perlis; SGR – Selangor; TRG – Terengganu; SBH – Sabah; SWK – Sarawak; KUL – Kuala Lumpur; LBN – Labuan; PJY -Putrajaya; MAS – Malaysia
“Jumlah yang rendah ini disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dimansuhkan, pergerakan antara negara telah dibenarkan dengan syarat pelancong telah mengambil dua dos suntikan vaksin,” katanya.
Tambahnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, Sabah antara lima buah negeri yang paling kerap dilawati di Malaysia (dari 2012 hingga 2021).
“Banyak tempat-tempat menarik untuk ditawarkan sebagai tarikan utama kepada pelancong, contohnya Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Borneo dan Malaysia, di samping mempunyai banyak pulau-pulau yang indah, seperti Pulau Gaya, Mamutik, Mabul, Sapi dan lain-lain.
“Sabah juga merupakan negeri ketiga mempunyai bilangan penduduk paling ramai di Malaysia dan mempunyai jumlah pelawat domestik ketiga tertinggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (ibu negara),” ujarnya.































