Keadaan kereta mangsa yang merempuh sebuah treler di Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB1 Ordine Gilu berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Pelabuhan, Sepanggar pada jam 3.27 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan seramai 15 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Asama Saruddin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 24 kilometer dari balai itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Dolphin melanggar sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa berumur 22 tahun tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kepala tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurut Ordine, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan KKM dan dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah pemeriksaan dibuat untuk memastikan tiada kemerbahayaan lain dilokasi, operasi ditamatkan pada jam 4.37 pagi,” katanya.





























