Ellron (duduk, tengah) bergambar bersama penduduk kampung.
SOOK: Menyedari hakikat kurangnya penglibatan belia pedalaman di peringkat negeri Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin menggesa agar setiap kampung di kawasan pedalaman menubuhkan kelab belia.
Beliau berkata, beliau melihat sendiri dalam Majlis Belia Sabah kurangnya penyertaan daripada belia pedalaman khususnya daerah-daerah seperti Tenom, Sipitang, Nabawan dan Sook.
“Walhal, penubuhan Majlis Belia Sabah itu sendiri adalah satu badan khusus untuk belia seluruh Sabah bagi melontarkan dan menyuarakan idea dan aspirasi mereka terhadap pembangunan belia Sabah,” katanya.
Tambahnya, penubuhan kelab belia di setiap kampung di pedalaman Sabah adalah penting bagi memastikan idea dan aspirasi mereka didengari selain membolehkan mereka sendiri berkongsi isu-isu belia pedalaman dalam satu platform penting samaada dalam peringkat negeri ataupun kebangsaan.
“Saya mahu belia dan beliawanis pedalaman berkecimpung dan melibatkan diri dalam pembangunan negeri dan negara menerusi kelab belia di kampung mereka masing-masing,” kata Ellron yang juga merupakan ADUN Sook.
Katanya, penubuhan kelab belia juga membolehkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah menyertai pelbagai kursus-kursus dan program yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti kursus keusahawanan, kursus memasak, kursus otomotif dan sebagainya.
“Penyertaan mereka dalam kursus dan program ini pastinya akan memberikan kelebihan kepada mereka kelak apabila memohon pekerjaan di syarikat swasta mahupun jabatan kerajaan.”
Ellron juga memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi Kementeriannya dan agensi-agensi kerajaan yang lain juga akan memberikan sejumlah dana untuk menggerakkan kelab belia yang berdaftar bagi memudahkan mereka membuat aktiviti dan program.
Beliau juga berharap agar pemimpin-pemimpin masyarakat bermula
daripada peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan
Kampung (JPKK) memainkan peranan penting bagi membantu kaum belia untuk menubuhkan kelab belia di kampung mereka.
Terdahulu, beliau menghadiri dan menyempurnakan Majlis 3 dalam 1 Kampung Kionsom Baru Sook (Perasmian Rumah PPRT, Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 dan Sambutan Pesta Kaamatan 2023) di Balai Raya Kampung Kionsom Baru, Sook.
Turut hadir ialah, Ketua Daerah Sook, Ramon Risi, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), Sook Tony Talasoi, serta pemimpin-pemimpin masyarakat dan penduduk kampung.





























