Keadaan mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disambar petir di Papar. – Ihsan Bomba
PAPAR: Seorang kanak-kanak lelaki yang juga orang kelainan upaya (OKU) berusia 13 tahun maut manakala rakannya dalam keadaan kritikal selepas dipanah petir sewaktu bermain bola sepak di sini petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kedua-duanya bermain bola sepak dalam hujan di padang berhampiran pekan di sini, dalam kejadian 3.55 petang.
“Kita menerima panggilan menerusi talian balai dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hamdani Harith dikejarkan ke lokasi yang terletak 100 meter dari BBP itu.
“Setiba di lokasi, didapati dua orang mangsa remaja lelaki disambar petir semasa menjalankan aktiviti sukan bola sepak.
“Pasukan bomba (EMRS) memberi rawatan awal pada mangsa yang cedera yang juga berusia 13 tahun sebelum menyerahkannya kepada pihak perubatan KKM untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Rozlan berkata, seorang lagi mangsa, iaitu Muhmmad Zulqilfle Redzwan meninggal dunia di lokasi kejadian dan ini disahkan oleh pasukan perubatan.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 4.40 petang.































