Jahid menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
TAMPARULI: Masyarakat diseru untuk menyumbang dan membantu golongan kurang bernasib baik setiap masa, apatah lagi ketika bulan Ramadan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, dalam bulan Ramadan ini, sudah tentu ada individu-individu yang memerlukan bantuan dan ehsan daripada masyarakat.
“Justeru, ambillah peluang keemasan ini untuk menyumbang dan berbakti kepada masyarakat bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika merasmikan program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, kelmarin.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Madin Anak, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli, Suffian Kundu, Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin, wakil Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Ustaz Hamsah Sulaiman, dan Pengerusi Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, Salgaring Wahit.
Menurutnya, keperluan setiap masyarakat itu sentiasa berbeza-beza.
Oleh itu, menerusi program seperti ini sekurang-kurangnya dapat membantu sekadar terdaya kepada golongan tidak berkemampuan.
“Mari kita berfikir pula bagaimana kita dapat menyumbang kepada masyarakat memerlukan, selain menerusi program seperti ini,” katanya.
Justeru, beliau juga berharap agar pada masa akan datang, program agihan sumbangan seperti itu akan dapat diteruskan.
Terdahulu, Suffian mengucapkan terima kasih kepada Jahid kerana setiap tahun memberi sumbangan kepada para imam, Pengerusi Masjid dan guru-guru di sekolah-sekolah agama.
“Terima kasih juga kepada pihak JAKIM atas sumbangan berbentuk bakul makanan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Malina menghargai kerjasama yang baik pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli yang sentiasa memberi kerjasama kepada mereka dalam mengadakan apa juga program di kawasan Tamparuli.
“Menerusi Program JIWA Jabatan Penerangan ini, diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan secara berterusan dalam Konsep Malaysia Madani,” kata Malina.
Pada majlis anjuran bersama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli dan Pejabat Penerangan Daerah Tuaran tersebut, seramai 50 orang merupakan penerima bakul makanan, manakala 47 lagi terdiri daripada Pengerusi Masjid dan Surau di kawasan Tamparuli.
Program diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa dan solat Maghrib berjemaah.





























