Mangsa dibawa turun menggunakan pengusung Robinson. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki wanita berusia 27 tahun terpaksa dibawa turun atas pengusung dari Gunung Kinabalu selepas terseliuh di buku lali hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Stesen Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 5.6 Gunung Kinabalu pada kira-kira jam 10 pagi.
“Kami menerima panggilan menerusi talian stesen pada 10.17 pagi dan sepasukan 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat (Mosar) Gunung Kinabalu diketuai Komander Operasi, PBB Alex Clarence dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak 700 meter dari pos Mosar, terdapat seorang mangsa wanita yang dikhuatiri terseliuh buku lali ketika menuruni gunung.
“Pasukan Mosar memberi rawatan awal dan membalut kaki mangsa pada bahagian yang terseliuh dengan balutan. Mangsa kemudian dibawa turun ke pintu pagar Timpohon menggunakan pengusung Robinson,” katanya.
Ridwan berkata, mangsa diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 3.25 petang.





























