Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memberi keutamaan dan meneliti semula keperluan kesihatan yang mendesak di Sabah.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ini termasuk mempercepatkan permohonan menaiktaraf 287 klinik daif dan 39 buah klinik tidak daif tetapi tidak tetapi tidak selesa diduduki.
“Saya juga memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia meneliti cadangan tambahan keluasan Klinik Kesihatan Putatan yang saban hari semakin sesak,” katanya ketika membahas untuk menyokong Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, malam tadi.

Shahelmey Yahya
Selain itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut memohon agar bajet yang diperuntukkan kepada pendidikan akan terus memberi tumpuan dan keutamaan kepada isu-isu kritikal pendidikan di Sabah yang melibatkan aspek-aspek berikut:
i. Penggantian atau menaik taraf sekolah uzur dan daif. Dalam usaha penggantian sekolah uzur dan daif, beliau memohon agar garis panduan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi perancangan bangunan dapat disemak dan disesuaikan dengan keadaan di Sabah kerana keluasan penggantian sekolah usang dan daif banyak sekolah yang tidak menepati ketetapan minima garis panduan EPU tersebut. Ini menyebabkan sekolah-sekolah daif tersbeut tidak tersenarai dalam projek menaiktaraf ataupun penggantian.
ii. Menyegerakan pembinaan dan penyiapan sekolah baharu bagi menyelesaikan isu 23 buah sekolah tumpang di Sabah.
iii. Menaiktaraf bilik kuliah dan kolej kediaman Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini kerana keadaannya yang agak mendesak.
iv. Permohonan pendawaian semula Sekolah Kebangsaan Contoh Petagas yang berada dalam parlimen Putatan.
Berkenaan dengan isu kemiskinan perumahan, Shahelmey memohon agar peratusan agihan peruntukan yang lebih besar dari Kementerian- kementerian yang berkaitan bagi tujuan berikut:
i. Projek pembaikan luar bandar dan program-program pembasmian kemiskinan. Ini termasuklah membaikpulih rumah di luar bandar.
ii. Penyelenggaraan Perumahan Awam Kos Rendah Negeri.
iii. Program Perumahan Rakyat dan Program Perumahan Rakyat Disewa, untuk daerah Putatan dan kawasan Sembulan dan Tanjung Aru dalam Parlimen Putatan.



























