Awang Ahmad Sah Sahari
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari mengumumkan beliau keluar Parti Warisan (Warisan) untuk menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Hari ini, Awang Ahmad menjadi wakil rakyat Warisan ke-10 yang meletak jawatan selepas pilihan raya negeri mengejut Sabah pada September 2020 di mana parti tersebut memenangi 23 kerusi, menjadikannya parti tunggal terbesar dalam 79 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut The Star, Bendahari Warisan dan Ketua Bahagian Putatan yang berusia 63 tahun itu berkata, beliau dan kebanyakan ahli jawatankuasanya akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Hajiji kerana mahu melihat kestabilan dan pembangunan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, kebanyakan pemimpin termasuk Ketua Wanita dan Pemuda di bahagian Putatan mengikutinya menyertai Gagasan Rakyat, dan mendakwa bahagian Warisan Putatan kini telah runtuh.
Beliau berkata, keputusannya itu akan memberi manfaat kepada rakyat dan ia juga untuk memenuhi aspirasi mereka.
“Kami melakukan ini untuk rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh penyokongnya semasa sidang media di sebuah hotel di sini.
“Ia bukan keputusan yang mudah tetapi saya perlu memikirkan pengundi dan membantu mereka.”
Awang Ahmad berkata, beliau telah bertemu Hajiji dua kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan mendapat jaminan bahawa Gagasan Rakyat akan menerima ahlinya di DUN Petagas dan Tanjung Aru, sebahagian daripada kerusi Parlimen Putatan.
Beliau menegaskan bahawa beliau perlu meninggalkan Warisan untuk membantu pengundinya dan antara rancangannya adalah untuk menangani banjir di beberapa kampung.
Beliau berkata, beliau tidak pernah meminta Hajiji untuk apa-apa dan ingin tahu rancangannya untuk Sabah.
Awang Ahmad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan berkata, beliau tidak mahu berkata negatif mengenai parti itu.
ADUN lain yang keluar dari Warisan untuk menyertai Gagasan Rakyat ialah Hassan Gani Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Norazlinah Arif (Kunak), Datuk Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Dua lagi ADUN Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Juil Nuatim (Limbahau), membentuk parti baharu – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
ADUN Kukusan, Rina Jainal menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat ); manakala ADUN Segama, Datuk Mohammadin Ketapi kelihatan kekal bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas tampil sebentar menyokong UMNO Sabah pada Januari.
UMNO Sabah, yang menarik balik sokongan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 6 Jan dalam usaha yang gagal untuk menjatuhkan Hajiji, turut menyaksikan empat ADUNnya – Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung) – menyertai Gagasan Rakyat.
Penghijrahan ADUN Warisan dan Barisan Nasional-UMNO telah melonjakkan kedudukan Hajiji.
GRS kini menguasai lebih dua pertiga daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui sokongan parti mesra termasuk Pakatan Harapan, KDM dan Barisan-UMNO Sabah.





























