Omar Raisul menyampaikan cenderahati kepada Arifin (lima dari kanan).
KOTA KINABALU: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dianugerahkan Sijil Bersih Audit atas kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran kewangan.
Menteri Tugas-Tugas Khas Dan Penyelarasan Sabah, Datuk Dr. Arifin Arif berkata, sijil berkenaan yang dianugerahkan oleh Jabatan Audit Negara merupakan pencapaian cemerlang kepada pengurusan PBNS dan semua yang terlibat.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pengerusi, timbalan serta semua pengurusan PBNS kerana telah mencapai apa yang diinginkan.
“Pihak kementerian melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pengarah audit kerana sentiasa membimbing pegawai-pegawai di Perbadanan Baitulmal bagi memastikan pengurusan, pentadbiran dan segalanya di PBNS berada dalam keadaan baik.
“Sebelum ini dalam tiga tahun berturut-turut, MUIS telah dianugerahkan sijil berkenaan dan diharap pencapaian PBNS pada hari ini akan terus dikekalkan kerana kita tahu, untuk mendapatkan anugerah sebegini bukannya mudah apatah lagi mempertahankan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Penyerahan Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan PBNS bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 di Menara Kinabalu pada Khamis.
Tambah Arifin, jabatan audit negara merupakan pembimbing kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh perbadanan bagi memastikan kelancaran fungsi sesuatu organisasi.
Turut hadir Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan; Pengarah Audit Negeri Sabah, Mohd Nasri Mohd Nasir; Pengerusi PBNS, Datuk Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan Datuk Sapdin Ibrahim.



























