Dr. Joachim Gunsalam dan Ellron Alfred Angin
KOTA KINABALU: Kesemua 13 Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal teguh bersama dan menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin ketika ditemui pada majlis penyerahan kepala singa kepada persatuan-persatuan dan tokong-tokong Cina di Sabah yang diadakan di Magellan Sutera Harbour, di sini hari ini.
Mereka ditanya tentang adanya pihak-pihak tertentu yang mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.
“Kesemua ADUN PBS menyokong Datuk Seri Hajiji 110 peratus,” katanya.
Ditanya jika beliau merasakan perlu dibuat usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian tetapi jika perlu, beliau yakin Hajiji akan menang.
“Tiada keperluan untuk buat usul undi percaya di DUN, tetapi jika perlu, saya yakin kita akan menang,” katanya.
“Mereka (pihak-pihak terbabit) cuba untuk menggugat kestabilan Kerajaan, tetapi setakat mana yang kita tahu, kita teruskan buat kerja kita dahulu dan, sekiranya perlu, barulah kita akan lihat apa yang kita akan lakukan dari sana,” tambahnya.
Senada dengan PBS, Ellron berkata, STAR sentiasa setia menyokong Hajiji.
Ditanya jika ada cubaan untuk ‘membeli’ ADUN STAR, katanya, itu beliau tidak tahu.
“Bagi STAR, ADUN-ADUN STAR semuanya setia dan menyokong Hajiji,” katanya.
Ditanya jika beliau ada dihubungi oleh pihak-pihak yang terbabit, katanya, belum ada.
“Mungkin mereka tidak berani kerana kita setia kepada Datuk Seri Hajiji. Jadi, jangan cuba-cuba lah, kita setia pada beliau (Hajiji),” kata Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan.
PBS dan STAR masing-masing menpunyai tujuh dan enam ADUN.
Kelmarin, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun mendedahkan ada pihak-pihak yang tertentu yang mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.
“Adalah difahamkan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.
“Sebagai makluman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin Kerajaan Negeri yang ada sekarang.
“Mereka termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan Sabah,” kata Masidi, sambil memberi jaminan suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan.































