Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif negatif Parti Warisan (Warisan) terhadap Kerajaan Negeri, sebaliknya menilai prestasi pentadbiran semasa berdasarkan fakta, rekod dan perkembangan sebenar negeri.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kinabatangan Aksyah Haji Nasrah mendakwa Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memainkan politik persepsi dengan mengulangi naratif negatif terhadap kerajaan negeri, sedangkan pencapaian ekonomi, pembangunan dan usaha memperjuangkan hak Sabah perlu dinilai secara objektif.
Beliau berkata rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan politik yang hanya membangkitkan kemarahan, sebaliknya menilai prestasi kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berdasarkan perkembangan sebenar negeri.
Aksyah berkata dakwaan Sabah mengalami kegagalan ekonomi perlu dinilai dengan mengambil kira pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak 5.1 peratus, mencecah RM88.8 bilion, selain pelaburan berjumlah RM14.55 bilion dan hasil negeri mencapai RM7 bilion.
Beliau turut membandingkan perkembangan ekonomi itu dengan angka pertumbuhan KDNK Sabah antara 2017 hingga 2020, yang menurutnya menunjukkan penurunan daripada 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018, 0.5 peratus pada 2019 dan negatif 9.2 peratus pada 2020, sambil mempersoalkan penilaian pihak yang mengkritik prestasi ekonomi kerajaan semasa.
Mengulas isu infrastruktur, Aksyah berkata Kerajaan Negeri sedang berusaha menangani cabaran bekalan air, elektrik dan jalan raya menerusi pelbagai projek pembangunan, termasuk kesinambungan pakej Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan empangan dan loji rawatan air baharu, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu serta talian penghantaran Southern Link.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang mempunyai peruntukan pembangunan RM12.02 bilion bagi memperkukuh kemudahan asas dan pembangunan negeri.
Beliau berkata isu pembangunan infrastruktur Sabah perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira perancangan, pelaksanaan, kesinambungan projek yang diwarisi serta usaha kerajaan semasa menangani keperluan rakyat, bukannya dijadikan bahan polemik politik semata-mata.
Mengenai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak 40 peratus hasil bersih Sabah, Aksyah berkata rakyat perlu menilai usaha serta pencapaian setiap pentadbiran dalam memperjuangkan hak negeri, termasuk perkembangan rundingan dan pengiktirafan berkaitan kepentingan Sabah.
Beliau berkata Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji meneruskan rundingan berkaitan hak Sabah di bawah MA63, termasuk pengiktirafan hak negeri, kuasa kawal selia tenaga dan gas, perkongsian hasil minyak dan gas serta kerangka penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.
Aksyah mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi atau naratif politik yang mengelirukan, sebaliknya membuat penilaian berasaskan fakta, rekod dan perkembangan sebenar kerana masa depan Sabah serta generasi akan datang perlu menjadi keutamaan.
































