Jamawi (atas, empat dari kiri) bergambar kenangan dengan penerima sijil penyertaan Program Pendigitalan Usahawan dan penerima Bantuan Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar.
TUARAN: Usahawan desa di Sabah digesa memanfaatkan platform e-dagang dan media sosial bagi memperluaskan pasaran produk masing-masing, sekali gus meningkatkan pendapatan tanpa dibatasi lokasi.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata penggunaan aplikasi e-dagang membolehkan usahawan memasarkan produk mereka kepada pelanggan lebih luas walaupun beroperasi dari kawasan kampung.
Beliau berkata Karnival Usahawan Desa (KUD) yang dianjurkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dengan kerjasama beberapa agensi dan kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), melibatkan 244 usahawan dengan lebih 200 gerai jualan dan pameran.
“Saya amat berpuas hati dengan program ini dan berharap ia dapat membantu usahawan kita memasarkan produk mereka melalui e-dagang.
“Walaupun kita berada di kampung, jika dapat menggunakan aplikasi e-dagang sebaik-baiknya, kita mampu menghasilkan jualan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan KUD di Padang Istiadat Pekan Tuaran, di sini, hari ini.

Jamawi (empat dari kiri) menerima cendera mata daripada Sabdil.
Jamawi berkata beliau sendiri mengambil inisiatif mempelajari penggunaan platform berkenaan dan akan membantu mempromosikan produk usahawan melalui akaun media sosial peribadinya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah turut mempergiat inisiatif Kebun Dapur bagi menggalakkan masyarakat mengusahakan tanaman makanan secara kecil-kecilan, sekali gus menambah pendapatan isi rumah dan memperkukuh keterjaminan makanan.
Katanya, berdasarkan laporan laporan pegawai pegawai pertanian daerah, setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya 120 pengusaha yang menyertai inisiatif Kebun Dapur.
Dengan kira-kira 28 daerah yang mempunyai pejabat Jabatan Pertanian, inisiatif itu berpotensi melibatkan lebih 3,000 pengusaha di seluruh Sabah.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua tetamu jemputan yang hadir dalam majlis itu.
Menurutnya, terdapat pengusaha yang berjaya mengembangkan kebun kecil di belakang rumah kepada operasi lebih besar selepas melihat potensi pendapatan daripada hasil tanaman.
Beliau memberi contoh pengusaha di Kota Belud yang bermula dengan kira-kira 100 polibeg cili sebelum mengembangkannya kepada sekitar 40,000 polibeg.
Katanya, harga cili ketika ini sekitar RM40 hingga RM45 sekilogram, manakala sepokok cili mampu menghasilkan kira-kira lima kilogram sepanjang tempoh enam bulan.
“Ini boleh memberikan pendapatan tambahan yang lumayan kepada ketua isi rumah yang mengusahakannya secara kecil-kecilan di belakang rumah.
“Apabila mereka sudah yakin hasilnya boleh dipasarkan dengan baik, mereka boleh mengembangkan kebun dapur masing-masing kepada 100, 1,000 atau sehingga 20,000 polibeg,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu akan terus diperluaskan bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta menyokong keterjaminan makanan di Sabah.
Hadir sama ADUN Pantai Dalit Datuk Jasnih Haji Daya; ADUN dilantik Sabah, Datuk Haji Abdul Kassim Haji Razali; Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Datuk Seri Panglima Jahid Jahim; Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki dan Pengurus Besar LIGS, Ts. Sabdil Tanjong.






























