Hajiji menyempurnakan penganugerahan ijazah kepada graduan UMS pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu terus memanfaatkan keunikan geopolitik, kepelbagaian biologi serta khazanah budaya Borneo bagi melahirkan modal insan berkelas dunia, sekali gus menerajui wacana pembangunan tanah air dan kepulauan Borneo secara keseluruhannya.
Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri sentiasa memandang tinggi keupayaan dan kepimpinan akademik UMS untuk terus memainkan peranan signifikan sebagai pusat kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan pemikiran strategik di peringkat serantau.
Beliau berkata sejak awal penubuhannya, UMS berkembang pesat dan membuktikan peranannya sebagai The Brain of Borneo, bukan sahaja berdiri kukuh sebagai institusi pengajian tinggi di utara Borneo, malah berjaya meletakkan dirinya sebagai simbol kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
“Sebagai sebuah institusi unggul di Borneo, UMS perlu terus memanfaatkan keunikan geopolitik, kepelbagaian biologi (biodiversity) yang kaya, serta keunikan khazanah budaya Borneo bagi melahirkan modal insan berkelas dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS berkata Kerajaan Negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus meletakkan pembangunan modal insan, pendidikan serta penguasaan teknologi dan transformasi digital sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
Katanya, peluang dalam ekonomi biru, digital, keusahawanan, kelestarian alam sekitar dan inovasi menuntut graduan supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan pantas dunia hari ini.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited, bertekad dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada anak tempatan Sabah yang harus keciciran daripada mendapat pendidikan tinggi berkualiti hanya disebabkan oleh kekangan kewangan atau latar belakang sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata komitmen terhadap pembangunan pendidikan bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui peningkatan peruntukan dana pendidikan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.
Katanya, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) ditingkatkan kepada RM161 juta tahun ini sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri.
Selain itu, katanya, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan bagi membantu anak Sabah meneruskan pengajian, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off, Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia, Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah, Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah serta Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off.
Hajiji berkata semua inisiatif itu bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi, khususnya kepada anak Sabah daripada keluarga kurang berkemampuan, selain memperkukuh pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan melalui Sabah Talent Blueprint, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjasama strategik dengan industri.
Kerjasama itu, katanya, turut memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi, termasuk di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) serta Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Beliau turut berbangga dengan pengiktirafan Talentbank 6-Star Employer Choice yang diterima UMS dalam bidang Pemasaran, Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan berdasarkan penilaian bebas membabitkan lebih 1,200 majikan terkemuka.
“Pengiktirafan berprestij ini membuktikan bahawa graduan UMS memiliki kompetensi tinggi yang diyakini serta menjadi buruan majikan di pasaran kerja,” katanya.
Katanya, ilmu yang diperoleh graduan UMS perlu dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran sebenar masyarakat, memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta menjaga kelestarian alam sekitar, selain memberi nilai tambah kepada keluarga, komuniti dan pembangunan Sabah.
“Jagalah nama baik alma mater, junjunglah nilai etika dan jadilah contoh teladan kepada generasi muda,” katanya.
Mengulas peranan UMS dalam menangani cabaran global, termasuk perubahan iklim, keterjaminan makanan dan kemerosotan sumber asli, Hajiji berkata, universiti itu penting melalui penyelidikan dan inovasi yang menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam teknologi hijau dan keterjaminan makanan.
Kerajaan Negeri, katanya, sentiasa menyokong penyelidikan UMS yang selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) serta inisiatif Sabah Blue Economy, khususnya dalam pembangunan tenaga boleh baharu, akuakultur moden dan sumber marin.
Beliau berkata kepakaran UMS, termasuk melalui Institut Marin Borneo (IMB), berpotensi menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi biru negeri, manakala kerjasama dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) membuka ruang kepada penyelidikan pertanian pintar, varieti padi tahan perubahan iklim, perikanan mampan dan bioteknologi.
Hajiji berharap graduan UMS dapat memainkan peranan dalam pembangunan negeri dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kepakaran bagi menyumbang kepada kemajuan ekonomi, kesejahteraan masyarakat serta masa depan Sabah yang lebih gemilang.




























