Anwar Ibrahim
SEREMBAN (Bernama): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes penyeludupan dadah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata kes berkenaan bukanlah kes terpencil dan tidak boleh dipandang ringan, memandangkan ia melibatkan penyalahgunaan aset pertahanan negara untuk kegiatan jenayah.
“Ini semalam dan dua tiga hari ini, heboh soal TUDM guna pesawat pertahanan negara, seludup dadah (bernilai) ratus juta ringgit. Bukan sekali, berpuluh kali, 20 kali … nak suruh kita ringankan, tutup kes itu, saya minta maaf.
“Kalau begini, cari orang lain. Saya selagi diberi amanah, saya dah beritahu, kamu melakukan pengkhianatan kepada negara, rasuah, guna pesawat TUDM seludup dadah, nak marah, marahlah … saya tidak peduli, tindakan wajib diambil. Saya bukan nak panjangkan isu tetapi semua harus tahu,” kata beliau ketika berucap merasmikan program Yakin MADANI yang bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat”, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said.
































