Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan sepenuhnya hak 40 peratus Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan mulai tahun 2027, susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dianggarkan sekitar RM10 bilion setahun bagi tahun 2022, 2023 dan 2024.
Angka tersebut didedahkan menerusi jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada Pertanyaan Lisan No. 27 yang dikemukakan oleh Madius di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2026.
Menurut Kementerian Kewangan, anggaran hasil RM10 bilion setahun tersebut merangkumi bayaran tunai hasil petroleum lima peratus, cukai langsung dan cukai tidak langsung.
“Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun sahaja, hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dianggarkan berjumlah RM30 bilion.
“Bagaimanapun, Kementerian tidak memperincikan jumlah kutipan bagi setiap komponen hasil tersebut, mahupun menyatakan jumlah sebenar hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi tujuan pengiraan hak 40 peratus Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius berkata, Kementerian juga tidak menyatakan jumlah hasil bagi tahun 2025, walaupun maklumat tersebut diminta secara khusus dalam pertanyaan beliau di Dewan Rakyat.
“Sekiranya asas hasil yang terpakai mengikut Perlembagaan berjumlah RM10 bilion setahun, hak 40 peratus Sabah adalah bersamaan RM4 bilion setahun atau RM12 bilion bagi tempoh tiga tahun tersebut,” katanya.
Madius menghargai usaha Kerajaan MADANI meningkatkan Pemberian Khas kepada Sabah secara berperingkat daripada RM125.6 juta pada tahun 2022 kepada RM300 juta bermula tahun 2023, RM600 juta pada tahun 2025 dan seterusnya RM1.5 bilion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei 2026.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peningkatan Pemberian Khas dan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan merupakan dua perkara yang berbeza.
“RM1.5 bilion itu mestilah dianggap sebagai bayaran interim tanpa prejudis kepada hak Sabah di bawah Perlembagaan dan bukannya sebagai penyelesaian penuh dan muktamad,” katanya.
Jawapan bertulis Kementerian Kewangan itu turut mendedahkan bahawa daripada RM1.5 bilion yang diumumkan, hanya RM600 juta telah dibayar kepada Kerajaan Sabah pada 12 Jun 2026.
Setakat 28 Oktober lalu, baki RM900 juta masih menunggu penguatkuasaan Perintah Pemberian Khas baharu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Madius turut menyuarakan kebimbangan terhadap penjelasan Kementerian bahawa Perintah baharu tersebut akan menggantikan Perintah P.U. (A) 271/2025 dan berasaskan persetujuan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi tempoh lima tahun atau lebih panjang.
“Kerajaan Sabah perlu berhati-hati dalam merundingkan Perintah baharu ini. Perintah tersebut mestilah mengandungi peruntukan yang jelas bagi memastikan penerimaan bayaran interim tidak menjejaskan hak 40 peratus Sabah serta tuntutan tertunggak bagi tempoh 1974 hingga 2021,” katanya.
Madius turut mempersoalkan sama ada anggaran RM10 bilion tersebut merangkumi hasil Persekutuan yang berpunca daripada aktiviti ekonomi di Sabah tetapi dikutip di luar Sabah, khususnya cukai yang dibayar oleh syarikat yang beroperasi di Sabah tetapi beribu pejabat di luar negeri ini.
“Terdapat perbezaan penting antara hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dengan hasil Persekutuan yang diperoleh dari Sabah. Perbezaan ini mesti diperjelaskan dalam menentukan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mendedahkan jumlah sebenar hasil Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi setiap tahun, termasuk tahun 2025, memperincikan kutipan bagi setiap komponen hasil serta menerbitkan kaedah pengiraan hak 40 peratus Sabah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menggesa supaya baki RM900 juta disalurkan dengan segera sekiranya masih belum dibayar, di samping menetapkan garis masa yang muktamad bagi pelaksanaan sepenuhnya hak 40 peratus Sabah mulai tahun 2027.
Menurut Madius, perjuangan tersebut bukan semata-mata mengenai jumlah wang yang diterima oleh Sabah, tetapi mengenai pematuhan Perlembagaan Persekutuan dan penunaian komitmen yang menjadi asas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya di bawah Perlembagaan. Sabah juga tidak seharusnya menerima kurang daripada apa yang menjadi haknya.
“Ini bukan soal kemurahan hati Kerajaan Persekutuan. Ini soal hak Perlembagaan Sabah.
“Hak yang tertulis, janji yang belum ditunaikan,” katanya.
































