KOTA KINABALU (Bernama): Sabah Electricity membawa masuk set janakuasa bergerak ke Pantai Timur Sabah pagi ini bagi memperkukuh kapasiti penjanaan di kawasan terbabit dan menyalurkan bekalan elektrik ke lebih banyak kemudahan penting.
Dalam kenyataan hari ini, Sabah Electricity memaklumkan set janakuasa bergerak itu membolehkan bekalan elektrik disalurkan kepada hospital, sekolah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan loji rawatan air bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Set itu mula dibawa masuk ke Pantai Timur pada 4 pagi tadi. Kami amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna ketika ini dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami.
“Setiap peringkat operasi dijalankan dengan mengutamakan aspek keselamatan. Sabah Electricity terus menggerakkan segala sumber, aset dan tenaga kerja di seluruh Sabah untuk mempercepat pemulihan bekalan elektrik serta mengurangkan kesan gangguan terhadap pengguna,” katanya.
Insiden menara T313 tumbang pada 6.04 pagi semalam itu memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik itu pulih pada 2 Dis ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-852 5427. — BERNAMA






























