KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) sepatutnya sudah mempunyai pelan kecemasan bagi menghadapi gangguan bekalan elektrik berskala besar, lebih-lebih lagi selepas kenaikan kadar tarif elektrik.
Pengerusi Zon Enam Gabungan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah berkata sebagai syarikat yang sudah lama beroperasi, SE perlu mempunyai persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kejadian luar jangka.
Katanya, gangguan bekalan elektrik yang melanda pantai timur Sabah memberi kesan besar kepada pengguna, khususnya peniaga di kawasan bandar yang berdepan kesukaran menjalankan perniagaan.
Liew yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meminta SE memastikan kemudahan bekalan elektrik sokongan tersedia bagi menghadapi situasi kecemasan.
Beliau turut mencadangkan penyediaan loji janakuasa sebagai sumber bekalan alternatif sekiranya berlaku kerosakan pada sistem penghantaran elektrik atau bencana.
Menurutnya, persediaan menghadapi kecemasan bukan perkara baharu bagi SE dan sepatutnya dirancang sejak awal.
Katanya, tanpa bekalan alternatif, pengguna di kawasan pantai timur Sabah berisiko terus terputus bekalan elektrik ketika kerja pemulihan dilaksanakan.
Terdahulu, SE mengesahkan gangguan bekalan elektrik di pantai timur Sabah susulan insiden pada sistem penghantaran elektrik jam 6.04 pagi tadi.






























